Spiga

Calon PAS menang - Mstar online


 KUALA TERENGGANU: Calon PAS, Mohd Abd Wahid Endut hari ini telah memenangi pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Keputusan itu diumumkan oleh Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan pada pukul 9.30 malam.

Mohd Abdul Wahid memperolehi 32,883 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan 30,552 undi.

Beliau menang dengan majoriti 2,631

Sementara itu, calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam memperoleh 193 undi sekaligus kehilangan wang deposit.

Wan Ahmad Farid memperolehi jumlah besar undi pos iaitu sebanyak 1,039 undi.
Sementara itu, Mohd Abd Wahid hanya memperoleh 86 undi manakala calon Bebas, Azharudin dengan satu undi.

-mstar.com.my

KEPUTUSAN TIDAK RASMI: BN DILAPOR MENDAHULUI

Setakat tengahari tadi, 42% pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurut beberapa laporan portal berita internet, kebanyakan yang mengundi pada sebelah pagi tadi terdiri daripada warga emas. 

Manakala pengundi muda masih belum kelihatan di pusat-pusat mengundi.

Berdasarkan laporan dari Malaysiakini pada jam 2 petang tadi, ketua puteri UMNO Terengganu, Nordiana Shafie mengesahkan calon BN sedang mendahului di beberapa buah kawasan pengundian dijalankan. 

Manakala Suara Keadilan melaporkan kebimbangan Tian Chua yang juga Ketua Penerangan Keadilan mengenai tindakan SPR yang menjangkakan 90% pengundi akan keluar pada mengundi pada hari ini.

“Bagaimana SPR boleh menyasarkan 90% sedangkan pada jam 12 tengahari hanya 42% sahaja yang keluar mengundi. Biasanya, pada setiap pilihanraya, jumlah yang keluar mengundi pada sebelah pagi adalah lebih ramai berbanding sebelah petang,” 

“Jadi atas dasar apa beliau membuat jangkaan ini? Kita ragu ada motif tertentu dalam kenyataan SPR ini,” kata Tian Chua kepada Suara Keadilan.

Manakala Harakah Daily pula melaporkan sebaliknya. PAS dilaporkan sedang mendahului dan sasaran peratusan keluar mengundi yang tinggi itu lebih diperlukan oleh Umno daripada PAS. 

Seorang petugas Pakatan Rakyat dilaporkan berkata, Umno mahu peratusan keluar mengundi lebih dari 85 peratus bagi mempertahankan kerusi ini. Kalau tidak sampai ke jumlah itu, peluang Umno menjadi sukar. 

Malaysian Insider pula memberitahu, suara rasmi daripada PAS menyebut, peratusan yang akan keluar mengundi pada hari ini tidak mampu mencecah 85% sepertimana yang diharapkan oleh SPR.

Setakat jam 3 petang tadi, belum ada lagi laporan yang berani menyatakan pihak mana yang bakal menang dalam pilihanraya kecil hari ini. 

Apapun, keputusan rasmi bagi kerusi P36 ini dijangka akan keluar seawal jam 10.30 malam ini. 

Pengundian Ditutup Pukul 5 petang...


Pengundian ditutup, hampir 80% keluar mengundi

KUALA TERENGGANU: Proses pengundian pilhan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu telah berakhir pukul 5 petang tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata peratusan keluar mengundi mencecah 80 peratus.

Proses pengiraan undi akan bermula bila-bila daripada sekarang dan keputusan rasmi dijangka diperolehi sebelum pukul 10.30 malam.

SPR akan mengadakan sidang media pada pukul 6 petang ini.

mstar.com.my

36 Pusat Mengundi Ditutup 5 Petang

KUALA TERENGGANU, 17 Jan (Bernama) -- Semua 36 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ditutup pada pukul 5 petang ini.

Menurut jurucakap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat pukul 4 petang ini, sebanyak 76 peratus daripada 80,229 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mereka.

"Jumlah keseluruhan yang keluar mengundi selepas pusat-pusat mengundi ini ditutup pada pukul 5 petang sedang dikira," katanya di sini, Sabtu.

Kesemua kertas undi akan dikira di 143 saluran sebelum dibawa ke pusat penjumlahan undi di Stadium Negeri di sini.

Keputusan pilihan raya kecil itu dijangka dapat diketahui paling awal pada pukul 10.30 malam ini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas, 82.45 peratus atau 66,231 daripada 80,325 pemilih keluar mengundi.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ditentang calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon Bebas Azharudin Mamat atau Adam.

-- BERNAMA


Kereta disyaki bawa pengundi hantu diserbu

Sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat telah menahan sebuah kereta daripada memasuki kawasan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman di Batas Baru, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, kerana disyaki membawa pengundi hantu.

Timbalan Ketua PKR Terengganu, Razali Alias berkata kumpulan penyokong Pakatan itu menahan kereta tersebut pada kira-kira jam 3.30 petang  tadi.

Beliau berkata, kereta tersebut membawa tiga orang penumpang ketika hendak memasuki kawasan sekolah berkenaan.

Razali berkata, mereka menyerbu ke arah kereta itu ketika ia berhenti di pintu pagar sekolah, kerana ia membawa tiga orang penumpang.

Ditanya mengapa mereka menyerbu kereta tersebut, Razali berkata, mereka berbuat demikian kerana mengesyaki penumpang itu mungkin pengundi hantu.

"Kami terdengar pemandunya memberitahu pengawal di situ yang dia anggota polis dan menunjukkan kad kuasa polis," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tidak dibenar mengundi

Katanya, anggota polis itu juga memberitahu pengawal tersebut dan orang ramai di situ yang polis berhak membawa pengundi masuk untuk mengundi.

Selepas itu, kata Razali, kereta tersebut dibenarkan oleh pengawal itu masuk ke kawasan sekolah.

"Kami tidak dibenarkan masuk dan terus memerhati kereta dari luar pagar sekolah," jelas Razali.

Bila sampai di dalam, katanya, ketiga-tiga penumpang kereta tersebut bertemu dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas.

Bagaimanapun, kata Alias, pegawai kelihatan tidak membenar masuk ke bilik pengundian.

"Selepas kira-kira 30 minit, mereka beredar dari situ dengan menaiki kereta yang sama," katanya.


Azeez nafi ditahan menyamar ejen tempat mengundi..

Pengerusi Biro Putera Umno Dato' Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan laporan Harakahdaily  bahawa beliau 'ditahan' oleh sepasukan skuad pemantau PAS dari Kedah kerana dipercayai menyamar sebagai ejen tempat mengundi.

Harakahdaily melaporkan, kejadian itu berlaku kira-kira 10.45 pagi tadi apabila skuad pemantau PAS yang diketuai oleh Syed Fadil Husin dan Ahmad Rizal menyedari Abdul Azeez keluar daripada tempat mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga, dekat Kuala Terengganu.

Menurut laporan itu, Azeez didapati memakai kad pas ejen Barisan Nasional (BN) kepunyaan Ibrahim Omar nombor kad pengenalan 660404-11-5335 dan mendakwa beliau merupakan anak tempatan sedangkan beliau adalah calon BN yang bertanding di kawasan Parlimen Baling, Kedah melawan Datuk  Taib Azzamuddin daripada PAS.

Menurut Harakahdaily, satu laporan polis bakal dibuat kerana kesalahan Azeez yang didakwa menyamar sebagai ejen tempat mengundi.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Abdul Azeez berkata laporan itu merupakan satu fitnah dan pembohongan terhadap dirinya.

“Saya tidak pernah pergi ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga Kuala Terengganu seperti yang dikatakan itu.

“Sebaliknya saya berada di rumah Kedah, di Kampung Tok-Ku, Kuala Terengganu untuk menjalankan kerja-kerja membantu calon BN.

“Saya merupakan penghulu peti undi Cabang Tiga, Dun Wakaf Mempelam. Jangan percaya kepada laporan tersebut,” kata Azeez.

Reaksi Mustaffa

Sementara itu, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Mustaffa Ali, berkata beliau tidak tahu menahu tentang perkara itu.

“Saya belum menerima laporan dan akan menyiasat terlebih dahulu untuk menentukan kesahihannya.

“Jadi saya tidak dapat mengulas mengenai perkara tersebut," katanya ditemui di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Pasir Panjang,  Kuala Terengganu.

Menurut Mustapha, sehingga jam 2 petang, kira-kira 60 peratus dari jumlah keseluruhan pengundi telah keluar mengundi.

Katanya peratusan ini agak rendah tetapi belau menjangka lebih ramai akan keluar mengundi antara jam 3 hingga jam 5 petang.

Bagaimanapun beliau menjangkakan peratusan yang keluar mengundi hari ini tidak melebihi 85 peratus.

Ketika ditanya peluang PAS setakat ini, beliau tidak mahu membuat ramalan, sebaliknya kata beliau keputusan akan diketahui selepas pusat pengundian di tutup jam lima.

“Insya-Allah Kita akan menang berdasarkan kepada pengundian yang dibuat di pusat pengundian sekarang,” katanya.

-Malaysiakini.com